Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen mengakui ketandusan atlet dalam sukan akuatik semestinya mencetuskan kebimbangan namun beberapa langkah dan perancangan telah dirangka untuk menyelesaikan masalah itu.

“Tetapi apa yang menjadi kekangan hingga kini adalah kurang mendapat sokongan daripada ahli gabungan.

“ASUM sendiri telah merangka banyak program pembangunan yang secukupnya untuk tahun ini dan banyak perancangan yang dilaksanakan di peringkat kebangsaan tetapi kurang mendapat sambutan di peringkat negeri.

“Untuk pengetahuan anda (wartawan), hanya beberapa negeri sahaja yang mengikuti program yang kami rangka dengan melaksanakannya iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka. Apa yang berlaku negeri-negeri lain gagal mengikut program kita sarankan. Kami telah beri peruntukan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas komen Mat Sport dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini yang mencadangkan agar khidmat ketua jurulatih skuad renang negara Paul Birmingham dinilai semula.

Menepis cadangan itu, Mae Chen menjelaskan masalah yang dihadapi ASUM ketika ini tidak boleh dipersalahkan kepada jurulatih dari Australia itu sahaja sebaliknya melibatkan semua pihak yang dalam pembangunan sukan akuatik negara.

“Dia ketua jurulatih skuad renan dan melatih perenang di bawahnya,” tambahnya.