Beberapa bekas pemenangnya turut dicalonkan semula oleh persatuan sukan kebangsaan masing-masing demi pengiktirafan tertinggi, Anugerah Sukan Negara (ASN) 2016 sekali gus akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan trofi.

Pemenang pingat perak badminton di Rio, Datuk Lee Chong Wei berpeluang cerah mengulanginya selepas 2005, 2008, 2011 dan 2012 apatah lagi dia sudah bergelar Olimpian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2016.

Namun tentangan sengit mampu diberikan pemenang gangsa keirin berbasikal Olimpik 2016, Azizulhasni Awang dan juara Kejuaraan Silat Dunia di Bali yang juga Olahragawan Kebangsaan 2015, Mohd. Al-Jufferi Jamari.

Turut dicalonkan ialah pemenang emas lompat jauh T20 Paralimpik Rio yang turut memecahkan tiga rekod dunia, Abdul Latif Romly; Rafiq Ismail (perak Kejohanan Boling Perseorangan Dunia di Doha) dan Syahrul Azman Manen Abdullah (bina badan).

Pandelela Rinong Pamg, pemenang perak platform 10 meter terjun seirama di Rio mengetuai calon Olahragawati Kebangsaan yang turut disaingi juara silat dunia, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (boling) dan Tan Li Lian (bina badan).

Pandalela yang bergandingan dengan Cheong Jun Hoong di Rio dan bersama bergelar Olimpian MOM (wanita) 2016, kini memburu gelaran Olahragawati Kebangsaan keempatnya selepas 2011, 2012 dan 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan anugerah, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, “pemilihan kali ini melihat pencapaian semua calon atlet yang konsisten dan menunjukkan peningkatan. Menariknya kali ini ialah pencalonan mereka merangkumi dua temasya terbesar dunia, Olimpik dan Paralimpik Rio.

“Orang ramai juga berpeluang memilih Atlet Suka Ramai 2016 menerusi undian di laman sesawang penaja anugerah, TM,” katanya yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan selepas mesyuarat jawatankuasa di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Turut menjadi rebutan dalam majlis penyampaian anugerah itu di sebuah hotel di ibu kota ialah Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan.