Menceritakan detik itu, jaguh olahraga Muhammad Ashraf Muhammad Haisham berkata dia menempuh detik hitam apabila kemalangan motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah pada 12 Januari 2013.

Ketika kemalangan itu berlaku Muhammad Ashraf baru berusia 17 tahun serta bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Yang lebih menyedihkannya adalah kehilangan tangan yang selama ini digunakannya untuk menulis dan membuat kerja lain kerana dia seorang kidal.

“Doktor memberitahu 90 peratus tangan kiri saya tidak dapat digunakan lagi akibat kemalangan tersebut dan terpaksa dipotong.

“Semasa kehilangan tangan kiri itu saya rasakan masa depan seakan sudah tiada dan persoalan bagaimana mahu meneruskan kehidupan sering bermain di fikiran.

“Saya terpaksa membiasakan diri untuk belajar menulis menggunakan tangan kanan selama dua bulan sebelum menghadapi SPM, kesukaran tersebut hanya saya sahaja yang tahu,” kata atlet berasal dari Lumut, Perak itu yang giat dalam sukan di sekolahnya.

Bagaimanapun, guru dan keluarganya banyak membantu untuk dia bangkit semula dan terus aktif dalam sukan, cuma beralih arah kepada sukan para yang tidak disangka-sangka kini menonjolkannya di peringkat antarabangsa.

Perjalanannya bukan mudah. Dia mengambil masa dua tahun untuk membiasakan diri berlari tanpa sebelah tangan dan sepanjang tempoh itu dua kali dia mengalami kecederaan tulang fabula kerana sukar menyeimbangkan diri ketika berlari sewaktu berlatih.

Tetapi hari ini dia memenangi pingat emas keduanya dalam Sukan Para ASEAN Ke-9 sambil memecah rekod acara 1,500m T46 (kekurangan anggota badan), setelah semalam memenangi acara 800m kategori sama. Muhammad Ashraf menang dalam masa empat minit, 24.73 saat untuk meleburkan rekod lama 4:27.90s milik Isidro Bildosolo dari Filipina yang dilakukan pada 2005 di Manila.