Pemenang tujuh kali Grand Slam, Venus hanya memerlukan satu jam, 19 minit untuk mengetepikan pemain yang menghuni ranking ke-124 dunia, Arantxa Rus dari Belanda 6-1, 6-4.

Satu lagi kemenangan dilakar oleh CoCo Vandeweghe, yang tewas set pertama kepada Richel Hogenkamp dan pemain itu mematahkan raket akibat kecewa sewaktu set kedua sebelum bangkit untuk menundukkan pencabarnya 4-6, 7-6 (8/6), 6-3.

Kedua-dua pemain itu mendapat sokongan padu daripada Serena, yang kelihatan tenang melakukan penampilan semula, selepas setahun berehat kerana melahirkan anak perempuannya, Alexis Olympia, yang turut berada di tempat duduk penonton dalam dokongan ayahnya, Alexis Ohanian.

Kemenangan Venus hadir dalam perlawanannya ke-1,000 dan penampilan ke-22 untuk acara perseorangan pada pertandingan yang kali pertama dia beraksi pada 1999, tetapi pemain itu menegaskan, pencapaian tersebut tidak langsung berada di dalam pemikirannya.

“Saya tidak begitu mengetahui tentang rekod pencapaian ini. Cuma saya berasa bangga dapat bermain dalam perlawanan yang saya suka, bukan pencapaian yang saya kejar, tetapi ia tetap akan berlaku,” kata Venus.

Serena, yang dijadual beraksi dalam perlawanan beregu, awal pagi ini (waktu Malaysia) bergandingan dengan Lauren Davis, menerima tepukan hormat sewaktu pasukan diperkenalkan kepada penonton dan dia duduk bersama rakan sepasukannya yang lain ketika Venus beraksi. - AFP