Muhammad Aqil menamatkan perlumbaan dengan masa 21.01s sekali gus memecahkan rekod kejohanan 21.03s milik Khairul Hafiz Jantan dari Me­laka ketika Sukma 2016. Kemenangannya hari ini bermakna jaguh dari Selangor itu menguasai kedua-dua acara pecut selepas mencipta kejutan apabila memenangi pingat emas 100m dengan masa 10.39s Selasa lalu.

Pingat perak 200m dimenangi Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan yang mencatat masa 21.26s manakala Russel Alex Nasir Taib dari Perak meraih gangsa dengan masa 21.30s.

“Ini acara kegemaran saya dan sebelum memulakan la­rian jurulatih memberitahu agar saya memperbaiki catatan terbaik, Alhamdulillah saya berjaya melakukannya.

“Catatan terbaik saya sebelum ini adalah 21.31s yang dilakukan dalam Sukma 2016 di mana saya mendapat pingat perak. Saya bersyukur kerana berjaya memecahkan rekod temasya. Sebenarnya saya mensasarkan untuk membuat catatan masa bawah 21s dalam perlumbaan ini,” katanya kepada pemberita.

Azreen Nabila pula merangkul emas ketiga peribadinya dalam temasya kali ini setelah memenangi acara 200m wanita dengan masa 24.76s.

Perak menjadi milik atlet tuan rumah, Shereen Samson Vallabouy (24.92s) manakala gangsa dimenangi Chelsea Cassiopea Evali Bopulas (25.27s) dari Sabah.

“Saya tidak menyangka dapat memenangi emas dalam acara ini kerana Shereen merupakan pilihan utama. Saya hanya mensasarkan pingat sahaja tanpa mengira warna. Kemenangan ini amat bermakna kepada saya sekali gus menaikkan semangat saya untuk melayakkan diri ke Sukan SEA 2019,” kata Azreen yang memenangi acara 100m kelmarin dan 4x100m semalam.

Laporan