Ingatkan kes ini saban tahun makin reda dek kesedaran dan akibat yang perlu ditanggung atlet apabila positif doping. Tetapi nyata silap. Rupa-rupanya penggunaan ba­han terlarang atau dadah dalam kancah sukan Malaysia semakin rancak.

Sukma (Sukan Malaysia) bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam kalangan atlet remaja yang berpotensi tinggi untuk mewakili negara. Tetapi mereka ‘kecik-kecik’ lagi sudah buat hal. Kita tengok rekod dalam tiga edisi Sukma terakhir, jumlah kes doping tidak turun dengan empat kes dilaporkan dalam setiap temasya, di Pahang (2012), Perlis (2014) dan Sarawak (2016).

Pengharaman penggunaan bahan terlarang dalam sukan adalah disebabkan impaknya yang bakal menggandakan prestasi atlet, sekali gus memberikan kelebihan kepada mereka. Tetapi matlamat tak menghalalkan cara.

Ada tiga sebab kenapa doping boleh berlaku. Satu, mereka jahil kerana tak tahu bahan yang diambil adalah terlarang. Dua, atlet menjadi mangsa apabila seseorang memberikan kepada mereka. Ketiga, mereka sengaja mengambilnya.

Antara dadah popular yang diambil seperti anabolics ste­roid iaitu bahan bagi menguatkan otot dan kerap diambil atlet dalam sukan fizikal.

Ada juga atlet menembak yang menggunakan bahan lara­ngan itu bagi mengurangkan pergerakan tangan ketika memetik picu.

Justeru, selaku individu yang cintakan sukan tanah air, Mat harap suatu hari nanti kes ini mampu diatasi dengan sifar kes dilaporkan.

Persatuan dan badan sukan, pegawai, jurulatih serta Adamas perlu terus mendidik agar atlet kita terhindar daripada melakukan kesalahan doping. Semoga berjaya.