Kata jurulatih olahraga itu, dia sudah mempunyai beberapa atlet muda yang bakal menjadi pelapis kepada jaguh pecut 100 meter negara, Khairul bagi memastikan kem negara tidak ketandusan dalam saingan acara pecut.

Tambah Mohd. Poad, prestasi yang dipamerkan oleh atlet muda ketika ini juga amat menakjubkan cuma dia tidak mahu terlalu memberikan tekanan kepada mereka sebelum tiba masa sesuai.

“Ada beberapa atlet muda yang kini berlatih bersama saya namun saya tidak mahu mendedahkan mereka lagi kerana masih terlalu muda dan apabila tiba masanya nanti mereka ini akan memberikan saingan.

“Kita perlu mempunyai pengganti kepada jaguh pecut yang telah dihasilkan bagi memastikan kesinambungan ini sentiasa berterusan.

“Dalam masa sama saya turut berharap lebih ramai atlet muda ini mengikut jejak Khairul sebagai jaguh pecut negara,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu majlis Anugerah Sukan Negara 2017 di sini, semalam.

Sementara itu, ditanya berhubung fokus atlet pecut pada tahun ini, Mohd. Poad berkata, Sukan Asia 2018 pada Ogos ini bakal menjadi keutamaan selepas Sukan Komanwel pada bulan depan.

“Sukan Komanwel adalah medan pendedahan buat atlet olahraga negara bagi membolehkan mereka merasai saingan yang lebih kompetitif menentang jaguh-jaguh luar negara agar tidak kekok ketika beraksi menentang lawan lebih hebat.

“Sukan Asia pula akan menjadi medan saingan sebenar buat atlet pecut negara dan saya berharap mereka dapat memberikan tentangan,” katanya.