Bintang tenis Britain itu tewas 3-6, 3-6 kepada pemain No. 59 dunia dari Croatia, Coric, sekali gus masih berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang tanah liat ketika jaguh-jaguh ternama lain seperti Rafael Nadal dan Novak Djokovic mudah mara ke suku akhir.

Murray, 30, sebelum ini turut tersingkir pada pu­singan ketiga Monte Carlo Masters bulan lalu, selain terkandas pada separuh akhir Terbuka Barcelona.

“Saya patut berasa bimbang selepas kekalahan hari ini.

“Kalah perla­wa­nan bukan perkara ter­buruk yang berlaku dalam hidup anda, tetapi bagaimana anda tewas itu yang membimbangkan,” kata Murray.

Coric, 20, hanya me­raih tiket Terbuka Madrid selepas jaguh Perancis, Ri­chard Gasquet menarik diri, sekali gus menjadikannya pemain ‘gantian’ pertama berjaya ke suku akhir dalam sejarah 16 tahun kejohanan.

Sementara itu, pemain No. 2 dunia, Djokovic dari Serbia mara ke separuh akhir tanpa perlu menge­rah keringat selepas Kei Nishikori dari Jepun menarik diri akibat kecederaan pergelangan tangan.

Djokovic kini berpeluang berdepan Nadal pada separuh akhir andai jaguh Sepanyol dan juara empat kali itu menewaskan David Goffin dari Belgium. – REUTERS