Perenang dari Sarawak itu kali pertama bersaing dalam Sukan Para ASEAN pada 2013 di Myanmar, seterusnya di Singapura namun dia gagal membawa pulang sebarang pingat, namun kelebihan beraksi di laman sendiri seperti membawa tuah kepada Anderson yang lumpuh separuh badan akibat mengalami demam panas ketika berusia 14 tahun.

Bagaimanapun, dia terpaksa menunggu hingga hari terakhir acara renang dipertan­dingkan untuk meraih emas pertamanya menerusi acara 150 meter rampaian lelaki SM4 (kekurangan anggota kaki) dengan catatan rekod baharu setelah menamatkan perlumbaan dalam masa tiga minit, 22.21 saat, memadam rekod temasya 3:49.01s berusia 12 tahun milik bekas perenang negara Wong Chee Kin yang melakukannya di Manila.

Emas keduanya hadir menerusi acara 50m kuak lentang S4 (kekura­ngan anggota kaki) sekali gus menjadi percapaian paling cemerlang buat perenang berusia 29 tahun itu sepanjang bergelar atlet para negara.

“Saya sangat gembira apabila berjaya meraih dua pingat emas hari ini, selepas dapat emas pertama saya berasa lebih yakin untuk mendapatkan emas kedua.

“Ini merupakan penyertaan pertama saya dalam acara 150m rampaian dan dapat memecah rekod, pasti saya berasa amat gembira. Saya mula lumpuh ketika berusia 14 tahun akibat demam panas,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.

Tambahnya, seorang lagi perenang negara Fraidden Dawan merupakan individu yang membawanya menyertai sukan itu dan mengajarnya berenang ketika di Sarawak.