Percaturan ketua jurulatih Abdul Talib Ahmad menurunkan regu kedua negara pada susunan pertama ternyata membuahkan hasil apabila regu yang diketuai Mohd. Syazreenaqmar Salehan itu tidak menghadapi sebarang masalah untuk menjinakkan regu pertama Indonesia dengan 21-17, 21-13.

Regu utama negara dibarisi oleh Mohammad Shahir Mohd. Rosdi (tekong), Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) yang turun pada susunan kedua pula menghadapi tentangan sengit daripada regu kedua Indonesia yang diketuai oleh Hendra Pago namun menang 16-21, 21-18, 21-14 sekali gus membantu Malaysia ke perlawanan akhir menentang Thailand esok.

Di pentas akhir nanti, pertembungan umpama buku bertemu ruas apabila Malaysia akan berjumpa musuh tradisi dan juara bertahan Thailand yang mudah menjinakkan India 2-0 dalam satu lagi saingan separuh akhir yang dijalankan serentak. – BERNAMA