AN NAJWA AZIZAN akan beraksi dalam liga di Australia bermula April ini.

Najwa, 21, yang memainkan peranan besar ketika membantu Malaysia muncul juara Sukan SEA 2017, selain dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai Kejohanan Asia 2016 akan bermain bersama Kelab Bola Jaring GWS (Greater Western Sydney) Fury yang berpangkalan di New South Wales, Australia.

Nama Goal Shooter (GS) kelahiran Selangor ini yang akan berlepas ke Australia Sabtu ini disarankan oleh jurulatih skuad juara Sukan SEA negara, Tracey Robinson tanpa perlu melalui sebarang proses saringan awal.

“Ini adalah pengalaman yang baik buat saya dan memang menjadi impian saya untuk bermain di Australia apatah lagi ia adalah negara yang berada di ranking pertama dunia.

“Walaupun bermain dalam liga amatur, ia adalah sesuatu yang besar maknanya buat saya dan dengan peluang ini saya harap dapat memberi sinar baru buat masa depan bola jaring Malaysia. Jika saya boleh, mereka pun boleh lakukannya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini,

Najwa bakal beraksi dalam Liga Perdana Samsung yang bermula pada April dan berakhir September nanti. - UTUSAN ONLINE