Pemain berusia 21 tahun itu yang memainkan peranan besar ketika membantu Malaysia merangkul pingat emas Sukan SEA selepas 16 tahun, Ogos lalu akan bermain untuk kelab Divisyen Dua Australia, GWS (Greater Western Sydney) Fury yang berpangkalan di New South Wales.

Khabar gembira buat Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Kejohanan Asia 2016 itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Datuk Suraya Yaacob di Majlis Sukan Negara, Bukit Jali hari ini.

Nama Goal Shooter (GS) kelahiran Selangor itu disarankan oleh jurulatih skuad Sukan SEA 2017, Tracey Robinson tanpa perlu melalui sebarang proses saringan awal, dan dia akan berlepas ke Australia pada Sabtu ini.

“Kelab ini beraksi dalam Liga Perdana Samsung yang berlangsung dari April hingga September ini.

“Ini pengalaman baik dan memang menjadi impian saya untuk bermain di Australia, negara yang berada pada ranking utama dunia.

“Walaupun bermain dalam liga amatur, ia tetap sesuatu yang besar dan saya harap ini akan membuka platform untuk pemain-pemain muda lain kita pada masa akan datang,” kata penuntut Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Berketinggian 1.79 meter, An Najwa turut menyedari cabaran besar yang menanti, terutama daripada segi fizikal namun tegasnya, dia akan cuba memberikan yang terbaik dan berharap mampu memberi saingan.

“Saya akan cuba menangguhkan pengajian di UPM buat sementara sehingga tamat musim liga September ini. Saya juga akan kembali menyarung jersi negara bagi Kejohanan Asia tahun ini.

“Belajar bila-bila pun boleh buat tetapi karier sukan ini ada had umurnya,” katanya yang turut membantu Malaysia menjulang trofi Kejohanan Asia tahun lalu di Bangkok, dua tahun lalu.

Sementara itu, Suraya berkata, beliau berharap penampilan An Najwa akan membuka peluang bagi kelab lain di Australia untuk melihat kemampuan pemain negara.

Mengenai khidmat Tracey yang berakhir selepas Sukan SEA, September lalu, kata­nya, pemain itu menjadi antara calon konsultan baharu PBJM memandangkan dia sudah mengenali ramai pemain dan dengan rekod kejayaan itu.