Dalam aksi di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil itu, Ahmad Amsyar berjaya melakukan terjunan konsisten dalam acara satu meter papan anjal individu lelaki dengan memungut markah keseluruhan 384 mata sekali gus mengetepikan rakan sepasukan, Ooi Tze Liang di tempat kedua (368.60) dan gangsa milik Mark Lee Han dari Singapura (350.55).

Kali terakhir acara itu dipertandingkan adalah 10 tahun lalu di Sukan SEA 2007, Thailand.

Kemenangan itu turut disambut dengan linangan air mata oleh penerjun kelahiran Perlis tersebut selepas tiga percubaan untuk mendapat emas acara individu sejak penampilan kali pertama di Sukan SEA Myanmar 2013.

“Pertama kali syukur Alhamdulillah, ini hadiah hari lahir yang paling tidak dapat dilupakan,” katanya.

Skuad terjun negara nyata berada di kelas tersendiri apabila terus menguasai kutipan emas pada hari ketiga apabila turut memperoleh dua lagi emas menjadi jumlah keseluruhan lapan emas berjaya disumbangkan kepada kontinjen negara.

Sementara itu, pemenang pingat perak Olimpik Rio, Pandelela Rinong mempertahankan emas yang dimenanginya dalam acara 10m platform individu wanita selama lima edisi berturut-turut dengan catatan mata tertinggi 341.65 manakala perak milik penerjun Singapura, Freida Lim Shen (274.65) dan gangsa diraih penerjun muda negara, Kimberly Bong (255.05).

Jasmine Lai dan Muhammad Syafiq Puteh melengkap malam cemerlang skuad terjun negara dengan menyumbang pingat emas kelapan dalam acara tiga meter papan anjal seirama campuran selepas mengumpul markah tertinggi 284.94 mata manakala perak milik Singapura, Ashlee Tan-Joshua James (243.84) dan duo Vietnam, Duy Vu Anh-Mai Ngo Phuong, gangsa (234.45).

Esok, tiga lagi pingat emas ditawarkan menerusi acara 10m platform seirama campuran, tiga meter papan anjal individu wanita dan lelaki.