Kedua-dua atlet tersebut, yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2015 dalam acara masing-masing, telah mempamerkan prestasi konsisten sepanjang tahun lalu untuk menerima trofi dan wang tunai RM20,000 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dalam majlis penyampaian anugerah malam ini.

Majlis itu turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menter Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Kejayaan paling membanggakan dilakar oleh Mohd. Al-Jufri adalah meraih pingat emas dalam Kejohanan Silat Dunia Ke-16 di Phuket, Thailand sekali gus membolehkannya muncul atlet dari sukan silat pertama memenangi anugerah tertinggi sukan negara tersebut.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua termasuk Pesaka (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia) kerana memberikan ruang untuk mempertabatkan silat diperingkat antarabangsa,” kata Mohd. Al-Jufri selepas menerima trofi.

Pandelela pula meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan untuk kali ketiga selepas menerimanya pada 2011 dan 2012.

Kejayaan meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform ketika Kejohanan Siri Terjun Dunia 2015 di Windsor, Kanada adalah kecemerlangan paling memberansangkan atlet berusia 23 tahun itu.

Sementara itu Najib menyampaikan anugerah Tokoh Sukan Negara 2015 kepada Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Persatuan Olahraga Amatur Asia, Tan Sri Dr. M. Jegathesan.

Dalam pada itu, anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2015 menjadi milik Mohamad Ridzuan Mohamad Pazi daripada sukan olahraga manakala Filicia Mikat dinobat sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Pasukan memanah lelaki serta wanita compound dinobat sebagai pemenang anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan 2015 dan Pasukan Wanita Kebangsaan berikutan pencapaian meraih pingat emas Sukan SEA 2015 dalam acara kategori masing-masing.