Mat Sport
Mat Sport

Ugutan tindakan tatatertib PSM tidak termakan oleh pemain, jurulatih dan pengadil yang cuba disasarkan dan penarikan balik kebenaran penganjuran tidak memberikan ‘kudis’ langsung kepada niat suci murni Utusan Malaysia demi kesinambungan dan pembangunan sukan tradisi ini.

Kejohanan Sepak Takraw Utusan 2017 tetap berlangsung dengan jayanya dari Khamis hingga Ahad lalu dengan sistem kiraan mata tersendiri, 15 dan 21 mata malah mendapat sambutan hebat dengan penyertaan besar 334 regu dalam enam kategori.

Fakta dan rekod itu sudah membuktikan jadi Mat Sport tidak mahu cakap besar seperti pemimpin PSM sewaktu bermesyuarat dengan pegawai-pegawai kanan Utusan, pertengahan bulan lalu mengenai kejohanan ini.

Kepada PSM, Mat nasihatkan jagalah pasukan kebangsaan kita sahaja. Dengan hanya menewaskan Filipina, Brunei, Kemboja dan Laos, semua peminat sudah cerdik bahawa emas antara regu Sukan SEA baru-baru ini memang kurang bernilai dan bukan penanda aras kejayaan kita langsung.

Thailand, Indonesia dan Myanmar serta Korea Selatan akan menunggu dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-32 di Bangkok, kurang sebulan dua lagi. Itulah kayu pengukur sebenar anda, PSM.

Lagi satu tolonglah PSM, jangan diulang boikot perlawanan akhir macam Oktober tahun lalu pada kejohanan itu. Memalukan! Tidak fasal-fasal nanti kena denda RM80,000 oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) lagi.

Berbalik kepada Kejohanan Sepak Takraw Utusan, Mat fikir Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mungkin perlu beri perhatian kepada tindak-tanduk PSM ini.

Misalnya di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pembangunan Sukan 1997, sebuah badan sukan yang didapati cuba mengganggu kemajuan sesebuah sukan itu seperti larangan terhadap Kejohanan Utusan ini boleh dikenakan tindakan tertentu.

Langkah ini boleh diambil sama ada atas inisiatif Pesuruhjaya Sukan sendiri atau berdasarkan aduan daripada mana-mana pasukan atau atlet yang bertanding yang mungkin berasa persediaan mereka khususnya segi kewangan dan pemain, terjejas teruk angkara PSM.

‘Servis’ di kaki anda untuk ‘melibas’ mereka pula.