Meskipun masih keletihan selepas pulang dari Budapest yang menyaksikan penerjun berusia 27 tahun itu memahat nama sebagai penerjun negara pertama meraih kejuaraan dunia tetapi dia tetap mempamerkan persembahan memukau dan ‘menggerunkan’ di hadapan penyokong sendiri.

Jun Hoong juga memberitahu, kecederaan belakang yang dialami sebelum ini masih dirasai tetapi melupakan seketika kesakitan itu demi menyumbang pingat emas kepada negara.

“Kali ini saya hanya ambil satu acara dan mahu fokus kepada proses pemulihan.

“Kesemua atlet pasti ada kecederaan tersendiri tetapi terpulang kepada bagaimana atlet itu mengawal tahap kecederaan yang dialami,” katanya yang mahu memberi tumpuan kepada persediaan beraksi di Sukan Asia dan Komanwel tahun depan.

Jun Hoong meraih emas apabila mengumpul mata tertinggi 268.55 mata dan perak menjadi milik seorang lagi penerjun negara, Jasmine Lai (233) manakala Ngo Phuong Mai dari Vietnam, gangsa (207.80).

Anak didik Yang Zhuliang terus cemerlang dengan menghadirkan emas kelima buat skuad terjun negara menerusi Ooi Tze Liang dalam 10 meter platform individu lelaki dengan mengumpul markah keseluruhan sebanyak 442.65 mata diikuti perak daripada rakan senegaranya, Chew Yi Wei (412.75) dan gangsa milik Singapura menerusi Jonathan Chan (367.90).

Memasuki hari kedua, skuad negara kini menuju untuk membolot kesemua 13 pingat emas yang ditawarkan.

Esok, dua lagi emas ditawarkan menerusi acara tiga meter papan anjal seirama campuran dan satu meter papan anjal individu lelaki.