Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu sebaliknya mahu menjadikan pengalaman Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad, yang pernah beraksi di temasya berprestij dunia itu sebagai pemangkin semangat dalam mengharungi cabaran di Rio menerusi acara recurve berpa­sukan lelaki.

“Perasaan gementar itu semestinya ada kepada seseorang atlet, lebih-lebih lagi apabila kita beraksi di pentas yang lebih kompetitif. Lagi pun, ini penampilan pertama saya di Olimpik. Jadi perasaan itu lain sikit.

“Saya berada dalam satu pasukan bersama dua pemanah senior yang boleh membantu saya dengan memberikan tunjuk ajar sebab saya masih muda. Saya memerlukan pengalaman daripada mereka berdua

“Setakat ini banyak yang telah saya pelajari setelah me­nimba pengalaman di Korea Selatan dan saya akan memanfaatkannya di sini nanti,” kata atlet berusia 21 tahun itu yang sudah pun tiba di Rio de Janeiro, Brazil ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sebelum diterbangkan ke Rio semalam, trio mema­nah negara itu telah menjalani latihan persediaan fasa akhir di Korea Selatan dengan jurulatihnya, Lee Jae Hyung berhajat besar dengan mahu melakukan kejutan melangkah ke pusingan akhir dalam saingan 12 pasukan terbaik dunia.

Memanah muncul acara berpasukan tunggal buat kontinjen negara di Olimpik yang bermula bulan depan selepas mereka memperoleh tiket di Turki pada pertengahan bulan lalu.

Ketika ditanya mengenai harapan, Muhammad Akmal enggan meletakkan sasaran terlampau tinggi sambil mele­takkan nasibnya umpama ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’.

“Kami akan cuba berusaha sebaik mungkin di Olimpik. Mana tahu ada rezeki. Kalau kita dapat podium, siapa sangka?,” katanya.

Untuk rekod, biarpun Malaysia belum pernah terputus menghantar pemanah sejak Olimpik 2004 Athens, namun sukan tersebut masih belum berupaya menyumbang pingat buat negara.