Selepas sekadar meraih gangsa 100 meter sebelum ini, Bolt, 30, sekali lagi gagal membantu Jamaica meraih emas 4x100m lelaki yang dimenangi oleh kuartet Bri­tain.

Lebih malang, Bolt yang akan bersara selepas Kejohanan Dunia ini mengalami kekejangan pada perlumbaan terakhir dalam karier­nya, sekali gus menyaksikan Jamaica terkeluar daripada kedudukan pingat.

Beraksi sebagai pelari ketiga, Bolt yang menerima baton daripada Julian Forte hanya sempat berlari sejauh 50m sebelum terhincut-hincut dan merebahkan badannya di atas trek sambil memegang paha kirinya dalam kea­daan kesakitan.

Ini membenarkan kuartet Jepun memintas untuk menduduki tempat ketiga. Kuartet Britain yang dibarisi Chijindu Ujah, Adam Gemili, Daniel Talbot dan Nethaneel Mitchell-Blake menang emas dengan catatan 37.47 saat, diikuti Amerika Syarikat yang diketuai Justin Gatlin di tempat kedua, 0.05s di belakang.

Stadium London yang penuh sesak akibat tiket habis dijual semata-mata untuk menyaksikan Bolt berlari ternyata hampa de­ngan keputusan itu.

Doktor pasukan Jamaica, Dr. Kevin Jones kemudian mengesahkan Bolt mengalami kejang berpunca daripada kecederaan hamstring.

“Apa yang lebih menyakitkan Bolt ialah kekalahan dalam perlumbaan itu.

“Tiga minggu ter­akhir terlalu sukar baginya (untuk berlari). Kami hanya mampu berdoa agar dia dapat berlari dengan baik,” kata Jones.

Forte turut merasai kekecewaan yang ditanggung Bolt apabila juara Olimpik itu tidak henti-henti meminta maaf kepada pelari Jamaica lain selepas perlumbaan.

"Dia (Bolt) tidak mahu be­ritahu apa yang berlaku. Cuma dia tidak henti-henti meminta maaf. Kami beritahu dia, tidak perlu memohon maaf kerana kerana kecede­raan adalah sebahagian daripada sukan ini,” ujar Forte. – AFP