Syakilla, 26, memenangi emas karate bawah 61 kilogram wanita dalam penampilan sulung di Incehon, empat tahun lalu.

Dia bagaimanapun beraksi dalam kategori bawah 55kg di Jakarta, dan terpaksa akur kepada juara bertahan, Wen Tzuyun dari Taiwan menerusi keputusan teknikal 1-1 dalam pusingan pembukaan hari ini.

Biarpun menyasarkan emas, namun Syakilla masih berpeluang pulang bersama pingat ‘saguhati’ apabila menentang peserta Macau, Wong Sok I dalam penentuan gangsa.

Begitupun, dia tewas 2-3 kepada Sok I, sekali gus pulang dengan tangan kosong, kegagalan yang sukar diterima atlet kelahiran Selangor itu, apatah lagi dia hadir di Jakarta sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan.

“Saya mahu mendapatkan penjelasan daripada pengurus apa yang tidak kena kepadanya hari ini.

“Harap ia tidak menjejaskan buruan pingat kita kerana dia adalah prospek emas,” kata Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohamad Zabidi.