Demikian kata Cheong Jun Yeng, 23, sewaktu dia dan ibunya menyaksikan siaran langsung di televisyen detik-detik kakak sulungnya Cheong Jun Hoong memenangi pingat perak acara 10 meter platform seirama wanita bersama Pandelela Rinong dalam Sukan Olimpik Rio hari ini.

Menurut Jun Yeng, dia dan ibunya Leow Lai Kuan, 50, serta bapanya Cheong Sun Weng, 54, sanggup tidak tidur semalaman untuk menyaksikan siaran langsung di televisyen acara terjun yang disertai Jun Hoong bermula pukul 2.45 pagi ini.

Katanya, sepanjang acara itu berlangsung, ia merupakan tempoh yang cukup mendebarkan buat mereka sekeluarga.

“Selepas kakak dan Pandelela menamatkan terjunan terakhir pada pukul 3.45 pagi, kami amat gembira kerana dia dan Pandelela akhirnya sah menang pingat perak untuk negara.

“Ketika itu saya dapat lihat bapa menitiskan air mata walaupun dia cuba menyembunyikan wajahnya daripada kami. Emak pula saya tengok hampir mahu melompat kerana terlalu gembira.

“Lebih istimewa kejayaan ini amat mengejutkan kerana tiada harapan pingat disandarkan dalam acara ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kepayang, di sini hari ini.