Ahmad Sarji, 77, merupakan peneneraju dua pertubuhan sukan; Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia dan Pengerusi Perfessional Golf Malaysia (PGM). Beliau turut memegang jawatan Presiden Presekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) sehingga 2012 dan bekas Presiden Presekutuan Bowls Asia (tahun 2000 hingga 2012).

Selama 15 tahun mentadbir sukan bowls, Ahmad Sarji memindahkan kecemerlangan sukan itu ke Malaysia apabila atlet seperti Safuan Said, Nur Iryani Azmi, Siti Zalina Ahmad dan Hazlee Rais memenangi kejuaraan peringkat dunia. Safuan mencapai ranking No. 1 dunia, Siti Zalina memenangi dua emas dalam Sukan Komanwel (2002 dan 2006). Nur Iryani dan Hazlee pernah merangkul gelaran Juara Antara Juara.

Bermula sebagai Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia pada 1996 dan kemudian selaku Yang Dipertua, Ahmad Sarji mengepalai program pembangunan kriket khusus bagi menampung keperluan di peringkat nasional.

Antaranya memperkenalkan Program Pembangunan Kriket Remaja (sasaran bagi kumpulan bawah 12), Projek Kriket Nasional (Pembangunan Menengah), Pusat Prestasi Tinggi serta penempatan pemain di luar negara dan pendedahan kumpulan peringkat usia.

Daripada pembangunan inilah wujudnya pertandingan-pertandingan yang dikhususkan untuk kumpulan sasaran itu seperti Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan, Cabaran Bawah 15 Antarabangsa, Antara Kelab Antarabangsa, Cabaran Pantai Timur, Trofi Melayu Antarabangsa, Kriket Perempuan Perisai Tuanku Najihah serta pertemuan dua ining Projek Kriket Nasional. Program sepanjang tahun menelan belanja jutaan ringgit.

Beliau turut sama mewujudkan Akademi Kriket Melayu Tuanku Ja’afar pada tahun 2004 untuk menampung kecemerlangan pemain peringkat usia yang dibekalkan mewakili pasukan kebangsaan.

Atas kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menubuhkan Professional Golf Malaysia (PGM) pada 2010 dan menjadi Pengerusi. PGM Tour menjadi sirkit jelajah paling aktif yang kemudian bersepakat dengan European Tour dan Asian Tour untuk mewujudkan Piala Eurasia. Pertandingan dwitahunan itu mengikut format Piala Ryder.

Ahmad Sarji merupakan personaliti yang mewujudkan stadium kriket bertaraf antarabangsa, Bayuemas Oval (tahun 2004) yang mendapat pengiktirafan Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) dan Bayuemas Bowls Indoor Stadium; kedua-dua di Kampung Pendamar, Klang.

Tahun lalu sebuah stadium kriket dalam dewan antarabangsa juga disiapkan di Bayuemas atas usaha beliau dan Sime Darby untuk mempopularkan sukan kriket dalam dewan kepada masyarakat Malaysia.

Tokoh ini juga dilantik sebagai chef-de-mission Sukan Olimpik XXX (London 2012).

Kerajaan turut menagih ‘seorang yang serius dan mempunyai kemahiran pentadbiran’ apabila melantik beliau sebagai Pengerusi Panel Penasihat Sukan sejak tahun 2014.

Hasil kegigihan dan kerja keras itu, Sime Darby Berhad telah menamakan stadium kriket dalam dewan sebagai Tun Ahmad Sarji Indoor Cricket Stadium manakala Kerajaan Perak turut menamakan stadium di Tapah sebagai Stadium Tun Ahmad Sarji.