Ahmad Amsyar Azmar

Berdasarkan kepada peraturan yang ditetapkan, 34 atlet akan ber­aksi dalam acara individu dengan kuota kelayakan tersebut diraih menerusi kejohanan Piala Dunia 2015 di Kazan yang menawarkan 12 slot, Piala Dunia 2016 di Rio (maksimum 18 slot) dan Kejohanan Benua yang menyediakan lima slot.

Bagi aksi di Kazan, kuota yang disediakan terhad kepada ha­nya satu slot untuk setiap negara manakala kejohanan yang berlangsung di Rio menawarkan maksimum dua slot kepada setiap negara.

Ahmad Amsyar berkata, berdasarkan kepada kejohanan di Rio ketika ini, sebanyak 18 slot kelayakan disediakan namun tujuh peserta daripada jumlah itu sudah layak ke Sukan Olimpik berdasarkan keputusan yang diraih mereka di Kazan tahun lalu.

Katanya, perkara itu menyaksikan dia dan beberapa penerjun lain berpeluang besar untuk mengisi baki kekosongan itu.

“Apabila slot yang ditawarkan sudah diisi berdasarkan keputusan tahun lalu, apabila mereka sudah layak, slot yang diraih dalam kejohanan ini tidak dikira dan akan dikosongkan.

“Keadaan ini menyaksikan pe­nerjun yang berada di kedudukan ke-20 hingga 25 berpeluang untuk mengisi kekosongan itu tetapi kami perlu tunggu keputusan rasmi yang akan dikeluarkan oleh FINA pada 7 Mac ini,” katanya ketika dihubungi.

Dalam aksi 3m papan anjal Ahad lalu, Ahmad Amysar berada di kedudukan ke-24 selepas mengumpul 380.50 mata sekali gus terlepas peluang beraksi di separuh akhir untuk layak secara automatik ke temasya sukan berprestij itu.