Katanya, selepas meneliti laporan kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), beliau mendapati daripada RM70 juta peruntukan, kira-kira RM50 juta dibelanjakan untuk atlet manakala selebihnya digunakan untuk menggaji staf yang majoritinya bukan warga tempatan.

“Saya bukan kata duit yang ada masuk poket atau dicuri, masalahnya banyak sangat perjawatan tambahan yang diwujudkan, pada saya seharusnya difokuskan kepada objektif Program Podium itu ditubuhkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Badminton Remaja Astro bawah 15 tahun di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Ketika mengulas mengenai perletakan jawatan Pengarah Program Podium Tim Newenham berikutan kegagalan program itu mencapai sasaran di Sukan Asia dan Sukan Komanwel, Syed Saddiq berkata beliau tidak menunding jari kepada pakar perancangan sukan dari Australia itu.

Jelasnya beliau menghormati keputusan Newenham itu dan berterima kasih atas komitmen yang ditunjukkan selama berkhidmat bersama KBS sejak 2016.

“Saya baru dimaklumkan tentang perkembangan ini, pertama sekali walau apa pun terjadi saya perlu mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana berkhidmat sekian lama. Pada masa yang sama seperti saya tekankan, prestasi yang dinilai bukan berdasarkan prestasi di Sukan Asia tetapi juga Sukan Komanwel, kita tidak capai sasaran program podium.

“Banyak pembaharuan dan penambahbaikkan perlu dibuat khususnya struktur organisasi, peranan yang dimainkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) dan KBS. Saya sudah arahkan pihak ISN dan MSN menghubungi beliau. Kemudian lihat apa yang boleh kita lakukan di masa hadapan.

Saya memerlukan post-mortem penuh dan tidak mahu menunding jari kepada satu orang atau beberapa pihak, sebaik sahaja tamat Sukan Asia, ramai pihak menyalahkan pemain, itu tidak betul. Saya juga perlu bertanggungjawab walaupun baharu, saya perlu bertanggungjawab, MSN, ISN dan persatuan sukan perlu bertanggungjawab, ini tanggungjawab bersama dan kita perlu mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Ketika diminta pandangan peribadi beliau mengenai calon sesuai mengisi jawatan Pengarah Podium itu, Syed Saddiq berkata perkara penting yang perlu diambil kira adalah kebolehan dalam mengendalikan atlet berprestasi tinggi negara.

Syed Saddiq berkata, beliau sedia mempertimbangkan untuk mengambil kepakaran tempatan dalam memajukan pembangunan sukan negara. - BERNAMA