Dengan kata lain, berakhirnya era Apartheid itu bermakna tiada lagi isu boikot memboikot oleh negara Komanwel susulan rasa tidak puas hati terhadap sistem pemisahan kaum yang tidak adil antara kulit putih yang dipandang tinggi dan kulit hitam yang dipandang rendah di negara Afrika Selatan.

Pada penampilan pertamanya sejak 1958, Afrika Selatan berjaya membawa pulang dua emas, empat perak dan lima gangsa walaupun hanya menyer­tai semula gabungan Komanwel ini pada 1991.

Pada temasya yang berlangsung dari 18-28 Ogos itu juga menyaksikan penampilan pertama Namibia sejak merdeka daripada Afrika Selatan pada 1990 selain Kepulauan Montserrat manakala Hong Kong pula membuat penampilan terakhir kerana bakal dikembalikan kepada pemerintahan China pada 1997.

Walaupun berlangsung dalam suasana aman dan meriah, temasya 1994 terpahat dalam sejarah sebagai yang terakhir mempertandingkan acara sukan yang berbentuk individu kerana mulai temasya 1998 di Kuala Lumpur, sukan berpasukan akan diper­kenalkan buat kali pertama seperti acara ragbi 7-sebelah, bola keranjang dan hoki.

Ini bermakna jumlah sukan yang dipertandingkan akan bertambah pada 1998 berbanding 10 sahaja pada 1994 seperti olahraga, badminton, tinju, berbasikal, gimnastik, boling padang, me­nembak, angkat berat dan gusti lantai.

Penambahan sukan berpasukan ini bertujuan meningkatkan pendapatan pihak penganjur menerusi hak penyiaran televisyen selain menjadikan temasya lebih meriah selain menarik lebih ramai penonton.

Di penghujung temasya edisi ke-15 itu, Australia muncul juara keseluruhan dengan meraih 86 emas, jauh meninggalkan tuan rumah, Kanada (46 emas) di tempat kedua dan England (31), ketiga.

Malaysia pula berada di tempat ke-14 dengan meraih dua emas, tiga perak dan dua gangsa. Ke­dua-dua emas disumbangkan menerusi badminton apabila Rashid Sidek menjuarai acara perseorangan lelaki dan Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang menjuarai acara beregu lelaki.

Badminton turut menyumbang dua lagi pingat perak dan dua gangsa. Satu lagi perak disumbangkan atlet angka berat, Matin Guntali. Malaysia turut mengambil bahagian dalam olahraga, tinju, berbasikal, gimnastik, menembak dan boling padang.