Pengarahnya, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz berkata, bentuk siasatan bagaimanapun tidak akan didedahkan buat masa ini tetapi pihaknya percaya ia adalah cara paling berkesan untuk mengenalpasti dalang yang membekalkan bahan terlarang jika ada.

“Ini kerana kebanyakan kes membabitkan atlet muda ini berpunca daripada makanan tambahan atau suplemen yang dimakan mereka. Ia lebih kepada jenis dadah perangsang (stimulant) bukannya steroid.

“Kita pelik macam mana atlet dalam usia yang masih muda ini sudah pandai menggunakan dadah terlarang ini kalau bukan ada pembekalnya. Tetapi saya tidak kata semua kerana ada juga kes atlet sendiri mengaku silap mengambil ubat atau makanan tambahan tanpa merujuk kepada sesiapa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Adamas, jumlah atlet muda termasuk masih dibangku sekolah yang positif doping kini berada di tahap cukup membimbangkan berikutan sudah empat atlet Sukan Malaysia (Sukma) 2018 disahkan positif doping.

Ini termasuk tiga atlet angkat berat dan seorang atlet dari sukan judo yang masing-masing berumur antara 18 hingga 21 tahun. Kes paling baharu membabitkan atlet angkat berat dari Pahang yang sudah dua kali positif doping dalam tempoh tiga tahun.

Kes pertama pada usia 19 tahun, atlet itu yang kini berusia 21 tahun positif steroid pada 2016 dan tahun ini pula, dia dikesan menggunakan dua jenis dadah peransang sekaligus iaitu jenis Methylhexaneamine dan Dimethylbutylamine di Sukma Perak baru-baru ini.

Dua lagi atlet angkat berat yang positif adalah dari Terengganu membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya berusia 18 tahun selain seorang lagi atlet judo dari Perak berusia 21 tahun. Kesemua mereka adalah pemenang pingat emas atau perak pada Sukma bulan lalu.