Menurut Pengarah Adamas, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, terbaharu pihaknya mengesahkan sudah empat atlet Sukan Malaysia (Sukma) 2018 positif doping.

Lebih membimbangkan, katanya, ada empat lagi sampel air kencing sedang menunggu untuk diuji semula kerana keputusan pertama lalu disyaki mencurigakan.

“Ada kes tahun ini atlet yang positif baru berusia 14 tahun dalam sukan renang.

“Malah dalam kes paling baharu yang disahkan, atlet angkat berat dari Pahang berusia 21 tahun sudah dua kali positif doping dalam tempoh tiga tahun dengan yang terbaharu dikesan menggunakan dua jenis dadah perangsang sekali gus iaitu Methylhexaneamine dan Dimethylbutylamine ketika (menyertai) Sukma 2018 baru-baru ini.

“Dalam kes pertama pada 2016, atlet sama positif dadah jenis steroid. Yang kita risau atlet muda ini tiada perasaan takut selepas dihukum kali pertama sebaliknya lebih berani mengambil dadah terlarang ini,” katanya dalam sidang akbar memgumumkan atlet terbaharu yang positif doping di pejabat Adamas di sini hari ini.

Sebagai rekod pada 12 Oktober lalu, dua atlet angkat berat Sukma, seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya dari Terengganu dan baru berusia 18 tahun disahkan juga positif doping.

Ini tidak termasuk spekulasi seorang atlet judo wanita dari Perak sebelum disahkan oleh Adamas hari ini yang positif dadah perangsang jenis Triamcinolone Acetonide.

Ini menjadikan keseluruhan atlet Sukma 2018 yang positif doping seramai empat orang setakat ini.

“Yang kita pelik, dalam usia semuda ini lagi atlet sudah berjinak-jinak dengan dadah terlarang dan tahu penggunaan mengenainya.

“Dalam waktu sama, kita juga tidak mahu menyalahkan atlet muda ini semata-mata sebaliknya akan juga menyiasat jika ada dalang yang membekalkan kepada mereka,” katanya.