KUALA LUMPUR 2 Jan. – Atlet ski air remaja negara Aaliyah Yoong Hanifah (gambar) terus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila gadis cilik yang baharu berusia 14 tahun itu berjaya menempatkan dirinya di kedudukan No. 2 dalam ranking dunia untuk acara tricks bagi kategori bawah 17 tahun.
Pemenang tiga pingat emas Sukan SEA 2017 yang berlangsung di ibu negara Ogos lalu itu juga menghuni anak tangga No. 5 dunia untuk kedudukan keseluruhan.
Aaliyah yang masih menuntut di Sekolah Antarabangsa Nexus, Putrajaya melahirkan rasa gembira dan syukur kerana berjaya melakar pencapaian yang baik di peringkat antarabangsa.
Berikutan kejayaan cemerlangnya itu, anak jati kelahiran Kuala Lumpur tersebut menanam azam untuk terus memperbaiki persembahannya dalam pertandingan yang bakal disertainya pada tahun ini.
“Saya menyimpan impian untuk berada di kedudukan No. 1 dunia pada 2019 dan sepanjang tahun ini, saya mahu terus memperbaiki pencapaian saya bagi memastikan hasrat yang saya sasarkan dapat menjadi realiti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia menerusi WhatsApp di sini, hari ini.
Sepanjang tahun lepas, selain tiga pingat emas dan satu perak yang diraih Aaliyah dalam Sukan SEA, atlet remaja itu turut melakar pencapaian cemerlang dalam pertandingan yang disertainya di peringkat yang lebih tinggi.
Antara pencapaian besar yang diraih Aaliyah ialah mengungguli acara tricks dalam Kejohanan Asia Oceania IWWF di Auckland, New Zealand dan juga berada di kedudukan ketiga dalam Kejuaraan Remaja Moomba Masters.
Pendorong terbesar kejayaan Aaliyah ialah bapanya sendiri iaitu Hanifah Yoong yang tidak pernah mengenal erti putus asa bagi memastikan puterinya itu mendapat latihan terbaik sehingga mampu berada di tahap sekarang.
“Saya kagum dengan keyakinan dan semangat yang ditunjukkan Aaliyah. Dia kini menjadi semakin kuat dan memiliki skil yang jauh lebih baik sejak melakukan penampilan dalam Sukan SEA 2017 Ogos lalu.
“Terima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) yang menyediakan kepakaran dan membentuk Aaliyah hingga ke tahap ini. Majlis Sukan Negara (MSN) juga sentiasa memberikan sokongan dalam menyediakan Aaliyah dengan jurulatih bertaraf dunia.
“Saya yakin Aaliyah mampu mencapai apa sahaja yang telah menjadi sasarannya pada masa akan datang,” kata Hanifah.