Aaliyah meraih dua emas masing-masing menerusi disiplin lompatan dan tricks dalam persaingan akhir kategori wanita yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Presint 6.

Bukan itu sahaja, atlet berusia 14 tahun itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam disiplin tricks dengan meraih 5,880 markah mengatasi atlet Singapura, Sabelle Kee yang meraih perak dan pemenang gangsa, Nur Alimah Priambodo dari Indonesia.

Menurut Aaliyah, dia tidak sangka dapat menyumbang tiga emas buat negara kerana jangkaannya sebelum ini hanya mampu meraih dua emas sahaja.

“Saya amat gembira dengan persembahan sebentar tadi kerana berdasarkan keyakinan, saya ingin melonjakkan butir emas dalam temasya sukan kali ini.

“Akhirnya terbukti dengan pertambahan pingat saya sebentar tadi,” katanya.

Sabtu lalu, Aaliyah berjaya menepati ramalan dengan memenangi pingat emas pertamanya dalam acara luncur air keseluruhan wanita, sekali gus dia kini telah menyumbang tiga emas dalam sukan tersebut.

Namun nasib tidak menyebelahi Aaliyah dalam acara slalom hari ini apabila hanya meraih perak selepas berada di kedudukan kedua manakala pesaing terdekatnya, Sasha Siew Hoon dari Singapura mengungguli emas dan gangsa diperoleh atlet Indonesia, Ummi Thoyibhatus Sholikah.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhammad Syahir Asyraf Md. Nasir menyumbang dua gangsa dalam sukan luncur air lelaki, masing-masing menerusi disiplin slalom dan lompatan.

Sebanyak tiga acara sukan luncur air telah dipertandingkan pada hari ini iaitu slalom, lompatan dan tricks.

Jumlah pingat emas yang diraih Aaliyah Yoong Hanifah dalam temasya Sukan SEA