Kejohanan dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan itu melibatkan 27 universiti tempatan dan dari luar negara berlangsung di Kompleks Sukan UiTM di sini bermula 31 Julai lalu sehingga 5 Ogos ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kejohanan tersebut mampu mengeratkan hubungan antara negara-negara ASEAN dan serantau seperti Sri Lanka, Nepal dan Pakistan atas semangat kesukanan dan persahabatan.

“Saya ucapkan selamat bertanding kepada semua kontinjen dan 850 peserta dalam setiap acara yang dipertandingkan.

“Harapan saya, lebih banyak acara sebegini diadakan di Selangor pada masa depan. Ambil peluang untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain dalam kejohanan UISF ini,” katanya ketika berucap merasmikan kejohanan berkenaan di sini, semalam.

Yang hadir sama ialah Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor. Datuk Dr. Abdullah Mohd. Said.

Antara universiti dari luar yang mengambil bahagian ialah Universiti of Cebu, Diliman College, Mapua University dari Filipina; Universiti Brunei Darussalam, Politeknik Brunei dari Brunei; Universitas Gadjah Mada, Universitas Negeri Jakarta, Trisakti University, Airlingga University, Universitas Pendidikan Indonesia, Universitas Padjajaran, Institut Teknologi Bandung, Universitas Negeri Yogyakarta, Universitas Tarumanagara dan Universitas Makasar mewakili Indonesia; Moratuwa University, University of Colombo, Sri Lanka Institute of Information Technology, University of Sri Jayewardenepura, University of Peradeniya, NSBM Green University Town dan Ceylon German Technical Training Institute dari Sri Lanka; Singapore Management University dari Singapura; Tribhuwan University dari Nepal; dan Sarhad University of Science & Information Technology dari Pakistan.

Sebanyak tujuh acara dipertandingkan iaitu futsal, hoki, tenis, badminton, bola keranjang, ragbi tujuh sebelah dan pingpong. - UTUSAN ONLINE