Bekas pemain No. 1 dunia berusia 28 tahun itu, memenangi Grand Slam sulungnya pada Terbuka Australia, Januari lalu dan selepas meletakkan kembali perjuangannya bagi mempertahankan gelaran Final WTA di atas landasan yang tepat dengan kemenangan ke atas Petra Kvitova, semalam, Wozniacki memuji pengaruh bapanya.

“Saya rasa dia sentiasa melayan saya sebagai orang dewasa, dan sebab itu, saya amat menghargai hubungan saya dengan bapa. Sejak usia masih muda, dia sentiasa bertanyakan pandangan saya.

“Saya berpendapat, dia mungkin berasakan amat penting untuk mengetahui perasaan saya, apa yang saya mahukan, apakah matlamat saya, jadi dia boleh membantu untuk saya mencapai impian itu.

“Saya berasakan dia menghormati pandangan saya sejak saya masih kecil lagi. Dia percaya saya mampu berdikari, saya rasa bapa yang menjadikan hubungan kami semakin akrab.

“Sudah tentu kadang kala kami tidak sependapat tentang beberapa perkara dan kami akan berbincang mengenainya. Ini merupakan sebahagian daripada hubungan kami, juga selaku jurulatih.

“Tetapi, pada akhirnya, kami berdua mahukan yang terbaik, dan cuba mencari jalan untuk meningkatkan persembahan agar saya mampu beraksi lebih bagus,” kata Wozniacki kepada pemberita selepas dia menewaskan Kvitova 7-5, 3-6, 6-2 dalam saingan Kumpulan Putih di Singapura.

Pada ketika pemain No. 3 dunia itu, selesa membiarkan bapanya membimbing perjalanan kariernya serta memberikan nasihat taktikal sebelum dan sewaktu perlawanan, Wozniacki bagaimanapun tidak merancang untuk mengikut jejak langkah bapanya apabila dia mempunyai anak sendiri kelak.

“Saya tidak berminat untuk menjadi jurulatih kepada anak saya. Saya rasa kerja itu terlalu memenatkan dan berat untuk saya. Saya bersyukur kerana bapa mahu menggalas peranan itu, dan saya berjaya melakukannya dengan baik dan kami mempunyai hubungan yang sangat rapat.

“Saya berharap anak saya nanti berminat untuk bergiat aktif dalam sukan. Bagaimanapun, ia tetap terpulang kepada pilihan mereka sendiri. Jika mereka berminat bermain secara profesional, maka, mereka memerlukan seseorang untuk melatih mereka. Saya terlibat dalam sukan ini terlalu lama,” ujarnya sambil tersenyum.

Selepas meraih satu kemenangan dan sekali kalah dalam perlawanan peringkat kumpulan, Wozniacki perlu menewaskan wakil Ukraine, Elina Svitolina, esok, jika berhajat untuk melangkah ke separuh akhir pada Final WTA. - REUTERS