Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berharap, ke­­semua yang terpilih sebagai sukarelawan bukan sahaja perlu mempersiapkan diri dari segi ke­terampilan dan kekuatan bahasa namun apa yang lebih penting adalah sentiasa bersedia berhadapan dengan situasi tidak diduga.

“Senjata rahsia untuk kejayaan Sukan SEA bukan sahaja terletak kepada atlet tetapi sukarelawan, saya berpeluang pergi ke banyak temasya sukan dan yang terbaharu adalah di Rio.

“Kita boleh buat segala persiapan tetapi yang paling pen­ting adalah tindakan serta-merta, saya mahu anda bersedia dan fikir secara logik.

“Percayalah, 99 peratus masalah yang datang tidak diduga. Saya mahu anda semua sentiasa saling membantu dan tidak hanya menjaga hal sendiri sahaja,” katanya ketika berucap dalam Program Latihan Umum Sukarelawan Kuala Lumpur 2017, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam sidang akhbar Khairy berkata, setakat ini sebanyak 27,160 orang telah mendaftar untuk menjadi sukarelawan, namun hanya 11,175 sahaja sudah menerima surat pelantikan yang mengharuskan mereka mendapatkan latihan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini.

Menurut beliau, latihan sukarelawan terbahagi kepada dua fasa iaitu Latihan Umum dan Latihan Spesifikasi.

“Latihan Umum merangkumi tujuh modul latihan bermula 28 Disember lalu hingga 25 Mac depan. Latihan Spesifikasi pula merupakan latihan merujuk kepada 16 bidang penugasan sukarelawan yang akan dijalankan pada bulan April hingga Julai ini,” katanya.

Katanya lagi, kini permohonan untuk menjadi sukarelawan turut dibuka kepada golongan senior seperti pesara kerajaan bagi menjadi pembimbing kepada sukarelawan muda.