Bukan sekadar penganjur, Shaukat turut menjadi atlet utama MyPW sehingga baru-baru ini bergelar juara heavyweight junior AWGC selepas menewaskan penyandang asal, Smart Dave dan Alex Cuevas dalam pertarungan tiga penjuru, GrappleMAX Showcase 8.

Pada 30 Mac ini, MyPW akan mempersembahkan pertunjukan gusti pertamanya tahun ini yang mirip WrestleMania WWE yang digelar Redemption (Penebusan) di Teater KuAsh, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur selepas mengakhiri 2018 dengan Wrestlenation, bulan lalu.

“Ya, gusti memang lakonan, ada jalan cerita dan watak-watak atau lebih tepat dipanggil seni persembahan sukan hiburan secara langsung. Sebelum bertarung peserta akan berbincang tentang gerak-gerinya.

“Namun bukan senang melakukannya di hadapan ramai penonton malah jika berlaku sentuhan fizikal, sakit peritnya memang terasa dan tetap berisiko kecederaan,” kata Shaukat yang mula tertawan dengan bekas juara WWE, Undertaker atau digelar The Phenom.

Sejak ‘cinta pandang pertama’ itu, Shaukat bertekad menjadi penggusti profesional biarpun rakan-rakan sekolah dan kolejnya hanya memperlekehkan cita-citanya dengan menganggap karier seperti itu tidak wujud di negara ini.

Jelas Shaukat, dia juga pernah menimba pengalaman berguru sendiri dengan legenda WWE di Amerika Syarikat seperti Thomas Prichard yang pernah mempunyai nama pentas dalam karier pronya, Doctor of Desire dalam beregu The Heavenly Bodies.

“Antara jagoan WWE yang pernah dilatihnya ialah The Rock (kini bintang filem Hollywood, Dwayne Johnson), Kurt Angle dan ramai lagi,” katanya yang kini membuka sebuah akademi gusti, Pusat Pembangunan MyPW di Puchong, Selangor.

Pelajaran pertama yang diterapkan kepada para pelajar di situ ialah cuba mengurangkan kesakitan dan kecederaan badan mereka. Mereka perlu tahu bagaimana untuk melantunkan diri dengan tali gelanggang dan kerapkan berlatih mengasah kemahiran bergusti.

Menerusi Pusat Pembangunan MyPW yang ditubuhkan empat tahun lalu, Shaukat telah mencurahkan ilmu dan pengalaman itu sehingga berjaya melahirkan atlet MyPW seperti Emman ‘The Kid’ Noorazman, Furious Faizal, JTJ dan Razza.

“Datin Maria Abdullah merupakan pelabur MyPW atau mulanya dinamakan Persekutuan Gusti Malaysia dan membantu menyelia operasi dan pemasarannya. Kami bermula dengan hanya empat pelajar di Pusat Pembangunan MyPW.

“Kini lebih 20 penggusti sudah bernaung di bawah MyPW. Perkembangan gusti profesional di Malaysia begitu pesat dan terdapat permintaan hebat daripada para penonton yang sentiasa menghadiri pertunjukan anjuran kami (dengan tiket berbayar berharga bawah RM100),” katanya.

MyPW juga katanya, sering menjalinkan kerjasama dengan Grapple Max, sebuah jenama gusti profesional Singapura yang ditubuhkan oleh Greg Glorious, seorang ‘pesaing’ Shaukat untuk menganjurkan pertunjukan di kedua-dua negara ini.

Gusti profesional juga sudah berkembang dan kian diterima ramai peminat di negara Asia Tenggara lain seperti yang dianjurkan Philippine Wrestling Revolution, Gatoh Move Pro Wrestling (Thailand) dan New Vietnam Pro Wrestling.