Itu reaksi bintang paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Puzi sejurus selepas merangkul pingat emas ketiganya dalam Sukan Para Asia 2018 dengan mengungguli acara lompat jauh T36 (celebral palsy) lelaki, hari ini.

Ridzuan, 31, yang mesra disapa Dik Wan sebak apabila dimaklumkan ibu bapanya yang sedang mengerjakan umrah, turut mendokan kejayaannya dalam temasya itu.

Dia memenangi pingat emas ketiganya dalam acara lompat jauh T36 bersama rekod baharu Asia iaitu 5.49 meter. Catatan lama dipegang oleh atlet China, Yang Yifei (5.43m).

Lompatan Ridzuan juga membolehkannya memadam rekod temasya, 5.42m miliknya sendiri yang dilakukan di Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Terdahulu, anak jati Perlis itu meraih emas dalam acara 100m T36 bersama rekod dunia.

Dia mencatat masa 11.87 saat dalam acara 100m T36, sekali gus memadam rekod lama 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetcov yang dilakukan dalam Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis pada 2013.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2017 itu turut meraih pingat emas acara 400m lelaki T36 dengan masa 59.36s.

Ibu bapanya, Mohamad Puzi, 58, dan Lailah Salleh, 50, sedang mengerjakan ibadah umrah. - BERNAMA