Semalam, Sazali, 52, menegaskan, dia enggan kembali ke pangkuan PBBM sejurus penggantungannya tamat kerana amat kecewa dengan layanan yang diberikan badan tersebut kepadanya.

Sazali sebaliknya mahu meneruskan karier secara bersendirian selepas mendapatkan penaja.

“Saya rasa tiada apa yang perlu kami komen sebab memang dia (Sazali) bukan lagi ahli PBBM.

“Dia sendiri yang mohon keluar daripada persatuan ini sejak tahun lalu selepas Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib dan Antidoping) PBBM bermesyuarat, jadi kami reda dengan kehendak­nya,” kata Setiausaha Kehormat PBBM, Leftenan Kolonel (B) Kamaruzaman Kadir kepada Utusan Online.

Kata Sazali, layanan mengecewakan PBBM sepanjang tempoh penggantungannya antara faktor yang menyebabkan dia enggan kembali bersama badan induk itu terutama selepas tamat hukumannya pada 2023.

Pada 7 Jun 2018, Sazali dikenakan hukuman tambahan oleh Jawatankuasa ­Disiplin (Tatatertib dan Antidoping) PBBM kerana melanggar hukuman penggantungan empat tahun akibat gagal ujian doping.

Sazali didapati positif anabolic ­steroid hasil ujian pada 1 September 2015 sebelum dia menyertai Kejohanan Bina Badan Asia 2015 di Tashkent. - UTUSAN