Jelasnya, dia tidak mengenali rapat Khabib namun menyifatkan tindakan petinju dari Dagestan, Rusia itu tidak profesional.

“Saya tidak begitu kenal dengan pihak lawan McGregor, namun saya pernah dengar petinju itu (Khabib) tidak pernah tewas.

“McGregor merupakan petinju yang hebat, namun tindakan pihak lawan McGregor melompat keluar gelanggang dan menyerang kem McGregor di tempat duduk penonton adalah sesuatu yang tidak profesional,” kata Mayweather.

Mayweather juga pernah mengalami insiden yang hampir seperti itu di mana ketika dia menentang Zab Jaudah pada 2006, pertarungan bertukar menjadi huru-hara selepas ada campur tangan dari pihak luar gelanggang sewaktu pusingan ke-10.

“Sudah percaya akan ada denda yang tinggi dikenakan. Saya yakin kerana semasa menentang Zab Jaudah, terdapat kekecohan berlaku secara tiba-tiba di dalam gelanggang sebelum penalti berat dan denda dikenakan.

“Jika tidak salah saya, hampir tujuh angka (nilai denda itu).

“Bukan saya yang didenda, sama ada Zab Jaudah atau pakcik saya Roger atau Leonard Ellerbe, jadi saya tahu apabila seseorang itu melompat keluar gelanggang dan membuat kekecohan di tempat penonton, dia akan dikenakan denda yang sangat tinggi,” tambahnya.

Khabib bagaimanapun telah menjelaskan dalam sidang akhbar selepas pertarungan itu bahawa ia sebagai satu reaksi ekoran tindakan McGregor yang menghina agama, negara dan keluarganya menjelang perlawanan sebenar.

Dalam perkembangan berkaitan Presiden Rusia, Vladimir Putin menyokong reaksi Khabib menyerang kem McGregor kerana menyifatkan pihak yang bertindak di luar batasan dengan provokasi melampau layak menerima padah.

“Sudah tentu sesiapa sahaja akan melompat keluar (gelanggang) dengan cara sama.

“Apabila anda diserang (provokasi) bukan sahaja anda yang akan bertindak balas sedemikian, tetapi kita semua akan membuat perkara sama,” katanya semasa mengadakan pertemuan khas dengan Khabib dan bapanya, Abdulmanap di Ulyanovsk, hari ini.- AGENSI