Demikian kata-kata semangat yang diberikan Datuk Lee Chong Wei kepada jaguh bina badan negara, Sazali setelah juara 10 kali Mr. Universe itu digantung empat tahun ekoran positif ujian doping.

Chong Wei yang pernah senasib dengan atlet berusia 48 tahun itu pada Ogos tahun lalu, mengakui amat simpati dengan keadaannya selain menyifatkan hukuman ‘berat’ yang dikenakan ke atas Sazali mengakibatkan kariernya menemui titik noktah.

Chong Wei bagaimanapun enggan memberi pandangan lebih lanjut kerana menganggap situasi kes doping antara dia dan Sazali mungkin jauh berbeza.

“Saya simpati juga de­ngan keadaannya sebab kena gantung empat tahun. Saya rasa karier dia sudah berakhir. Cuma saya tak boleh nak beri panda­ngan sangat sebab saya tak tahu kes dia (Sazali) secara mendalam.

“Apa yang saya harapkan supaya dia segera pulih (mental dan fizikal) sebab saya tahu hukumannya terlalu lama. Saya yang lapan bulan digantung pun rasa tertekan,” kata bekas pemain No. 1 dunia itu ketika ditemui pada kejohanan badminton Liga Purple, di sini, semalam.

Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) Selasa lalu me­ngumumkan, Sazali dikenakan hukuman tersebut berkuatkuasa 22 September 2015 setelah ujian dopingnya disahkan positif mengandungi bahan terlarang dan sepanjang tempoh hukuman itu dia tidak dibenarkan terlibat dengan apa jua aktiviti berkaitan bina badan.

Sazali didapati positif ­menggunakan bahan terlarang selepas mengambil makanan tambahan yang diperkenalkan oleh rakannya menerusi pasaran terbuka, tanpa mengetahui produk berkenaan mengandungi steroid Kelas S1 dan dia mengakui semuanya berlaku atas kecuaiannya sendiri.

Sementara itu, mengulas kehadiran jurulatih baharu Indra Wijaya, Chong Wei berkata, dia amat mengalu-alukan kedatangan bekas bintang Indonesia itu selaku jurulatih perseorangan negara dalam usaha memantapkan barisan pelapis kebangsaan.

“Sangat bagus kerana jurulatih perseorangan yang ada sekarang seperti Hendrawan dan Tey Seu Bock terpaksa ikut saya ke pertandingan luar negara. Jadi dengan kehadiran Indra dapat membantu pemain bawahan lain.

“Saya pernah tengok semasa di Korea Selatan sebelum ini, Indra ada bawa sekali pemain junior. Harap dia dapat beri kerjasama baik dengan Hendrawan dan Seu Bock,” ujarnya.