Sebelum ini Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail menyatakan hasrat untuk bertemu Khairy susulan pengguguran sepak takraw sebagai sukan teras oleh Majlis Sukan Negara (MSN), selain tidak dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Kata Khairy, buat masa ini belum ada tarikh khusus pertemuan tersebut kerana harus meneliti jadualnya terlebih dahulu.

“Saya sedang mengatur jadual untuk bertemunya (Ahmad) dan memang cadangan awal pada minggu depan.

“Biar saya jumpa PSM dahulu dan kita lihat apa keputusan akan dibuat nanti,” katanya selepas Majlis Pembukaan Piala EurAsia 2018 di sini, hari ini.

Ahmad dilaporkan mahu bertemu Khairy bukan untuk me­rayu sebaliknya ia adalah langkah susulan PSM bagi mendapatkan penjelasan selepas sukan itu digugurkan.

Sepak takraw antara tiga sukan teras yang digugurkan dalam program MSN bersama angkat berat dan taekwondo bermula dengan Sukma di Perak, September tahun depan.

Keputusan tersebut dibuat pada 12 Disember lalu dalam Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan oleh Khairy.

Salah satu alasan sukan sepak takraw digugurkan adalah kerana gagal menunjukkan peningkatan.

Dalam pada itu, Khairy turut keliru dengan kenyataan Ahmad baru-baru ini yang mendakwa terdapat konspirasi untuk menjatuhkan Presiden PSM itu susulan pengguguran sukan tradisi tersebut daripada sukan teras.

“Saya tidak pasti apa yang di maksudkan oleh Datuk Seri Ahmad Ismail dan saya tidak tahu dia rujuk kepada apa.

“Dia kata ada komplot dan be­ritahu ada bukti tetapi saya tidak tahu apa komplot yang dimaksudkannya,” kata Khairy.