Bintang Switzerland itu yang dianggap pemain ‘separuh masa’ turut memahat sejarah sebagai pemain paling tua pernah menjuarai Wimbledon selepas mengetepikan pencabar dari Croa­tia, Marin Cilic 6-3, 6-1, 6-4.

Federer, yang genap 36 tahun pada 8 Ogos depan menjulang trofi Grand Slam kali ke-19 dan menjadi pemain lelaki pertama sejak Bjorn Borg pada 1976 berjaya memenangi kejohanan itu tanpa melepaskan sebarang set.

Sejurus tamat perlawanan, Federer yang turut menjuarai Terbuka Australia pada awal tahun ini menyifatkan kemenangan kali ini adalah sangat luar biasa.

“Ia seperti keajaiban. Saya fikir, saya mungkin mempamerkan permainan terbaik dalam karier. Sukar untuk mempercayai bahawa saya mampu mencapai kejayaan setinggi ini,” ujar­nya.

Pemain No. 3 dunia itu tidak beraksi pada Wimbledon tahun lalu kerana masalah lutut, sebelum kembali ke lapangan dengan muncul juara Terbuka Australia di Melbourne, Janua­ri lalu.

“Saya perlu lebih kerap bercuti!. Apakah mustahil untuk saya beraksi di sini apabila usia menjangkau 40 tahun?. Kalau kesihatan mengizinkan, jika semuanya baik mengapa tidak.

“Anda hanya perlu mengambil rehat lebih panjang dan memberi tumpuan kepada Wimbledon. Letakkan diri dalam keadaan ‘berehat’, kemudian berlatih sedikit bagi mengelak daripada cedera.

“Jangan lupa, beraksi di Wimbledon dan muncul juara Wimbledon adalah dua perkara berbeza.

“Masalahnya apabila anda kurang bermain, anda mungkin dapat menjaga kesihatan tetapi pada masa sama sukar untuk mengukur sejauh mana keupayaan sebenar.

“Pada satu peringkat, anda masih perlu bermain biarpun jumlahnya adalah minimum atau anda bakal berdepan kesukaran untuk meraih lebih banyak kejayaan.

“Apa yang akan saya lakukan selepas ini dan bagaimana saya hendak menguruskan karier saya, itu persoalan yang menarik,” kata Federer, yang memadam rekod Arthur Ashe sebagai pemain paling tua menjuarai Wimbledon pada usia 32 tahun pada 1976.

Kali terakhir Federer muncul juara di Wimbledon adalah pada 2012 dalam perlawanan yang ketika itu disaksikan oleh anak kembar perempuannya, Myla Rose dan Charlene Riva.

Kemenangan bekas pemain No. 1 dunia itu kali dini disaksikan pula oleh anak lelaki kembarnya, Leo dan Lennart.

Pada ketika Federer meraikan kejayaan menakjubkan, Cilic, juara Terbuka Amerika Syarikat 2014 berusia 28 tahun pula menangis ketika ketinggalan 0-3 di set kedua selepas menyedari peluangnya untuk mengejar cukup tipis.

Dia bergelut dengan kece­deraan kaki kiri sepanjang perlawanan dan terpaksa mendapatkan rawatan di set kedua, sebelum akur dengan kekalahan dalam masa satu jam, 41 minit. – AGENSI