STEPHEN VAN HUIZEN
STEPHEN VAN HUIZEN

Undian acara hoki Sukan Komanwel diadakan di Gold Coast, Australia hari ini menyaksikan Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-12 ranking dunia diletakkan dalam Kumpulan B bersama India (6), England (7), Pakistan (13) dan Wales (24).

Acara hoki disertai 10 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dengan tuan rumah dan juara dunia tiga kali Australia (ranking No. 2 dunia), New Zealand (8), Kanada (11), Afrika Selatan (15) serta Scotland (23) berada dalam Kumpulan A.

Jelas Stephen, walaupun laluan Malaysia pada peringkat awal nampak mudah, namun dia menjangkakan skuadnya akan diberikan cabaran sengit memandang­kan banyak pasukan berhasrat menumbangkan skuad kebangsaan ekoran prestasi mereka yang baik musim ini.

“Nak kata kita bernasib baik dalam undian hari ini, tidak juga, sebab setiap kumpulan ada cabaran tersendiri. Saya tidak mahu pandang rendah terhadap keupayaan pihak lawan di Gold Coast.

“Untuk saingan Kumpulan B, kita jarang menang dengan India manakala England pula kita tiada rekod pertemuan yang baik ke­belakangan ini.

“Pakistan pula, walaupun mereka berada di ranking lebih rendah berbanding kita, mereka sentiasa mampu memberi cabaran sengit. Untuk Wales, kami tidak mahu pandang rendah terhadap mereka.

“Sekali pun prestasi kita tahun ini boleh dikatakan bagus, tetapi bukan bermakna kita berpotensi untuk menumpaskan mereka.

“Sebaliknya kita kena bekerja keras sebab pihak lawan pastinya sudah menganalisis permainan Malaysia dan tak sabar nak kalahkan. Kita perlu berwaspada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Musim ini, selain berjaya mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2018 dan mempertahankan pingat emas Sukan SEA, skuad negara turut muncul naib juara Piala Asia 2017 dengan beberapa kejutan dilakarkan dalam kempen yang berlangsung di Dhaka, Bangladesh itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya sasaran skuad kebangsaan di Gold Coast, Stephen menyerahkan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk menetapkannya.

“Sasaran bukan saya yang tetapkan. Apa yang penting setiap cabaran yang dihadapi, kami akan laksanakannya dengan sehabis baik,” katanya.

Sementara itu, dalam kategori wanita, skuad negara (ranking ke-22 dunia) berada dalam Kumpulan A bersama England (2), India (10), Afrika Selatan (14) dan Wales (26), manakala Kumpulan B dianggotai Australia, New Zealand, Scotland, Kanada dan Ghana.

“England merupakan pasukan paling hebat dalam Kumpulan A. India pula, kami pernah kalah 0-2 sewaktu Piala Asia 2017 baru-baru ini.

“Afrika Selatan kami dah kalahkan dalam Sukan Komanwel sebelum ini. Wales pula mempunyai ranking dunia lebih rendah. Apa pun, kami patut mencuba dan memberikan aksi terbaik pada temasya itu,” kata jurulatih skuad wanita negara Muhammad Dharma Raj Abdullah.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan penganjur, skuad lelaki dan wanita negara hanya akan mula beraksi pada hari kedua pertandingan iaitu pada 6 April.

Skuad lelaki negara akan memulakan persaingan dengan bertemu England diikuti Wales keesokan harinya, India pada 10 April dan Pakistan (11 April).

Skuad wanita pula berdepan India pada 6 April, diikuti Afrika Selatan (7 April), England (9 April) dan Wales (11 April).

Mengikut format pertandingan, dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak secara automatik ke separuh akhir manakala yang lain akan bermain untuk klasifikasi tempat kelima hingga 10.

Separuh akhir wanita dijadual berlangsung pada 12 April manakala lelaki pada 13 April. Perlawanan akhir akan dilangsungkan pada 14 April bagi kedua-dua kategori iaitu sehari sebelum acara penutup diadakan.

habis.//