Penerjun kelahiran Perak itu juga menegaskan, usianya yang menjangkau 27 tahun pada 16 April lalu juga tidak langsung menganggu tumpuannya, biarpun sedar kebanyakan pencabarnya, terutama dari China jauh lebih muda.

Semalam, Jun Hoong melakar sejarah sukan tanah air apabila muncul atlet Malaysia pertama memenangi pingat emas dalam acara terjun pada Kejohanan Dunia selepas mengungguli saingan 10 meter platform individu wanita.

Jun Hoong melengkapkan terjunan sensasi dengan mengumpul 397.5 mata, menewaskan juara dunia 2013 dari China, Si Yajie, 18, menerusi kelebihan 1.5 mata.

Rakan senegara Yajie yang juga juara Olimpik, Ren Qian, 16, membawa pulang gangsa.

“Pada 2015, saya melalui pe­ngalaman yang paling menakutkan apabila mengalami kecede­raan serius di tumit ketika berlatih di China dan hampir terpaksa melupakan karier.

“Bagaimanapun, sokongan keluarga, rakan-rakan, jurulatih dan semua pihak memberi semangat kepada saya untuk bangkit serta cuba pulih dengan sepenuhnya.

“Kecederaan itu menyebabkan saya terpaksa melupakan Kejohanan Dunia di Kazan dan berada dalam keadaan tidak pasti sama ada dapat beraksi pada Sukan O­limpik (Rio 2016) atau tidak, namun saya akhirnya sempat sembuh.

“Kecederaan itu juga membuatkan saya menjadi lebih kuat, tabah dan tidak mudah berputus asa sehingga berjaya meraih pi­ngat perak Olimpik Rio dan kini emas dalam Kejohanan Dunia yang saya anggap seperti mimpi,” kata Jun Hoong ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jun Hoong terlebih dulu melakar sejarah pada Sukan Olimpik apabila meraih pingat perak dalam 10m platform seirama bersama pasangannya, Pandelela Rinong di Rio, tahun lalu.

Atlet kelahiran Batu Gajah itu kemudian menghadiahkan gangsa dalam acara yang sama bersama Pandelela di Budapest, Ahad lalu sebelum meraih emas tidak diduga dalam saingan individu.

Atlet wanita China telah menguasai acara terjun pada Kejohanan Dunia sejak ia diperkenalkan di Madrid pada 1986 apabila memenangi tujuh daripada 12 emas dalam saingan 10m platform wanita.

Ini kali kedua berturut-turut mereka gagal membawa pulang emas acara berkenaan selepas penerjun Korea Utara, Kim Kuk-hyang muncul juara di Kazan, dua tahun lalu.