MPM sedar, Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, namun dalam masa sama menjangkakan tekanan berterusan bakal diberikan negara itu melihat kenyataan yang dikeluarkan.

“Kami akan terus memberi tekanan.

“Kami mempunyai surat sokongan Jawatankuasa Pa­ralimpik Antarabangsa, Jawatankuasa Paralimpik Eropah dan Jawatankuasa Olimpik Atlet, harap mereka membenarkan atlet kami serta pegawai keselamatan mengiringi penyertaan kontinjen,” kata Pengerusi Jawatankuasa ­Olimpik Israel, Nisim Sasportas dalam Ynet news.com.

Kejohanan Renang Para Du­nia yang berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos penting kerana menjadi medan kelayakan buat atlet renang para memburu slot Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Naib Presiden MPM, Datuk R. Subramaniam berkata, ketika ini mereka tidak dapat memberi kata putus selaku penganjur kerana isu tersebut dianggap berat dan serius.

Subramaniam bagaimanapun berkata, mereka belum mendapat pengesahan daripada kontinjen Israel untuk menyertai kejohanan itu, dan dalam masa sama tiada apa-apa makluman rasmi diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar.

“Pendaftaran telah dibuka baru-baru ini dengan 18 negara sudah mengesahkan penyertaan. Kita jangka 80 negara bakal mengambil bahagian di Kuching namun sehingga kini belum ada pengesahan dari Israel untuk turut serta.

“Kita juga belum terima makluman daripada kerajaan berhubung penyertaan atlet ­Israel dan jika negara memutuskan untuk tidak membenarkan ada atlet negara itu berada di Malaysia maka kita akur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malaysia tidak mempu­nyai hubungan diplomatik de­ngan Israel kerana membantah penindasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.