Menurut beliau, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memerlukan ruang agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab mencari sebarang kelemahan yang ada untuk diperbaiki.

“Semua orang kena bersabar, tunggu ISN, MSN dan MOM buat post-mortem. Kita bukannya tak ada langsung pencapaian pada Sukan Asia yang lalu. Kita telah mencapai sasaran tujuh emas. Tunggu rebiu dilakukan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beng Choo diminta mengulas mengenai isu terhadap keberkesanan Program Podium berikutan kegagalan negara menempatkan diri dalam kalangan sepuluh negara terbaik pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast dan Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun ini.

Beliau memberitahu, bukan mudah untuk melaksanakan sesebuah program seperti Program Podium kerana hasil yang diperolehi memerlukan satu tempoh yang panjang dan bukannya secara serta-merta.

“Masalah kita di Malaysia ini, kita selalu hendak hasil yang cepat sedangkan setiap program pembangunan atlet memerlukan masa yang panjang sebelum kita mendapat hasil. Bagi saya Program Podium merupakan sebuah program yang sangat baik, tetapi kita perlu bersabar untuk melihat hasilnya,” tegasnya.

Jelas beliau, sasaran utama Program Podium ialah untuk Sukan Olimpik 2020 dan pihak yang berkenaan masih mempunyai masa bagi memastikan segala perancangan yang telah disusun dapat direalisasikan.

Mengulas mengenai atlet yang menyertai Porgram Podium hanya semata-mata hendak mendapatkan elaun yang mewah, Beng Choo berkata, setiap pekerjaan yang dilakukan mesti diiringi satu ganjaran yang setimpal dengan tugas yang dilakukan oleh individu berkenaan.

“Macam kita mendapat tawaran kerja dan dibayar gaji yang tinggi, tetapi dalam masa sama kita perlulah memenuhi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang diharapkan majikan. Begitu juga dengan atlet, elaun yang diterima mereka perlulah dibalas dengan satu pencapaian yang baik.

“Jika atlet berkenaan gagal mencapai prestasi yang diharapkan, maka dia sendiri perlu menilai semula kedudukannya di dalam Program Podium. Kita mesti tahu, kita layak atau tidak,” katanya.