Pengerusi Jawatankuasa Ke­selamatan FAM, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata, pihak­nya memandang serius perbuatan membaling bom asap itu dan berharap individu berkenaan dapat segera dikenal pasti untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Insiden itu berlaku dalam perlawanan yang menyaksikan ATM mencipta kejutan ke atas juara Piala Malaysia, Pahang dengan kemena­ngan 1-0, dan berlaku di kawasan tempat duduk penyokong skuad Tok Gajah.

Muhammad Fuad berkata, pihak­nya kini menunggu laporan penuh berhubung insiden tersebut sebelum membuat apa-apa tindakan termasuk kepada pasukan terlibat.

Muhammad Fuad berkata, insiden itu tidak akan berlaku sekiranya semua penonton mengikut peraturan yang telah ditetapkan semasa berada di stadium untuk keselesaan bersama.

“Ini adalah perkara yang kami anggap besar kerana itu adalah bom asap. Kami perlu menilai laporan penuh daripada pihak Stadium Tuanku Abdul Rahman untuk menge­tahui bagaimana bom itu boleh dibawa masuk.

“Kami kalau boleh tidak mahu terlalu tegas dengan penyokong kerana sedar ini adalah sukan yang wajar ditonton bersama dan ber­akhir dengan baik, namun jika penyokong masih lagi terus-menerus mencabar kami jadi tidak mustahil kami akan bawa ke mahkamah,” katanya apabila dihubungi.

Akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab itu, penyokong pasukan Pahang terpaksa beredar dari kawasan terjejas.

“Buat masa ini pihak kami masih boleh bersabar biarpun pelbagai langkah telah diambil.

“Saya menjangkakan laporan berhubung insiden tersebut akan diperoleh dalam masa terdekat ini,” kata Muhammad Fuad.