Menurut Pegawai Media dan Komunikasi Sekretariat Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke-9 (MASOC), Fahmi Omar, setakat ini pihaknya telah menerima 27,000 permohonan, sedangkan mereka hanya akan memerlukan 13,000 sukarelawan bagi menghadapi temasya berkenaan.

Daripada permohonan yang diterima, 5,000 orang telah diberi latihan sukarelawan sejak Disember lalu, sekali gus meninggalkan hanya 8,000 lagi slot untuk diisi oleh rakyat Malaysia.

Katanya, MASOC tidak bercadang untuk mengawalkan tarikh tutup permohonan biarpun menerima sambutan yang dianggap luar biasa, sebaliknya orang ramai masih boleh memohon dan berpeluang melalui proses tapisan yang akan dijalankan dari semasa ke semasa.

Menurut Fahmi, kesedaran orang ramai untuk memberikan sumbangan kepada negara dengan cara melibatkan diri dalam penganjuran dua temasya berkenaan antara faktor ia mendapat sambutan hebat.

“Kami memerlukan kira-kira 13,000 sukarelawan bagi dua temasya tersebut iaitu 9,000 bagi Sukan SEA 2017 dan 4,000 untuk Para ASEAN ke-9.

“Bagaimanapun kami mungkin mengambil lebih daripada jumlah 13,000 yang diperlukan kerana perlu bersedia dengan apa juga kemungkinan yang bakal berlaku dalam kalangan sukarelawan. Sebagai contoh, mungkin ada yang tidak dapat turut serta di saat-saat akhir atas sebab tertentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut memberitahu, semua sukarelawan akan menjalani 23 siri latihan umum melibatkan penampilan, gaya protokol serta patriotik.

“Kem latihan bagi sukarelawan ini ialah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam masa sama kami juga ingin menggalakkan individu yang telah pencen agar turut serta.

“Segala kemahiran yang dimiliki oleh pemohon yang telah pencen ini akan dimanfaatkan bersama bagi menjadikan penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN berlangsung lancar,” katanya lagi.

Sukan SEA akan berlangsung dari 19-31 Ogos, diikuti Sukan Para ASEAN pada 17-23 September. Mereka yang berminat menjadi sukarelawan boleh mendaftar dan perlu mengisi borang permohonan lengkap di www.kualalumpur2017.com.my. - UTUSAN ONLINE