Gimnas yang berasal dari Kuantan, Pahang itu telah mengumpul empat emas peribadi keseluruhan sepanjang temasya, termasuk dua dalam acara berpasukan serta all-around individu.

Baru berusia 18 tahun, Sie Yan juga turut menyumbang dua pingat perak buat kontinjen Malaysia dalam KL2017, malah telah memiliki lima emas Sukan SEA sepanjang kariernya apabila membawa pulang emas all-around individu dalam temasya di Singapura, dua tahun lalu.

Walaupun dilihat tenang ketika mengungguli acara gelung dengan catatan 16.000 mata dan riben (16.550 mata), Sie Yan mengakui, dia sebenarnya gemuruh setiap kali turun ke gelanggang, apatah lagi beraksi di depan penonton yang sentiasa penuh di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

“Saya telah berlatih selama dua tahun untuk menghadapi Sukan SEA dan sudah tentu saya mahu melakukan yang terbaik untuk menghadiahkan sesuatu yang berharga buat negara.

“Adat dalam pertandingan ada yang kalah dan menang, tetapi saya sentiasa mahu berada pada kedudukan terbaik kerana hanya pencapaian itu boleh memberi inspirasi kepada orang lain,” kata Sie Yan.

Menurut Sie Yan, biarpun dia tidak menjadi atlet yang menghadiahkan emas ke-100 buat Malaysia, dia tetap berbangga dengan pencapaiannya sepanjang KL2017 dan memasang azam untuk terus melakar nama dalam arena gimnastik berirama.

“Setiap kali pertandingan, saya cuba memberikan persembahan yang terbaik kerana mahu mendapat keputusan yang boleh baik.

“Mungkin ini penampilan terbaik saya dan saya gembira kerana telah membanggakan negara,” katanya, yang turut meraih perak dalam aparatus bola serta riben.

Tambahnya, dia mendedikasikan kejayaan itu kepada ibu bapanya atas pengorbanan mereka dan turut berterima kasih terhadap sokongan rakan-rakannya.