Ridzuan mencatat masa 11.87 saat ketika menjuarai 100 meter T36 (ce­rebral palsy), sekali gus memecah rekod milik atlet Rusia, Evgenii Shvetsov 11.90s yang dilakukan pada 2013.

Dia juga memperbaiki pencapaian empat tahun lalu apabila sekadar meraih perak.

Abdul Latif mempertahankan emas lompat jauh lelaki T20 (masalah pembelajaran) dengan catatan 7.64m, memadam rekod dunia miliknya sendiri - 7.60m yang dilakukan di Rio 2016.

Terdahulu, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam 400m T20 wanita.

Kejayaan Siti Noor Iasah kemudian disusuli dengan kemenangan Nasharuddin Mohamad dalam 400m T20 lelaki.

Noor Iasah menamatkan lairan di Stadium Bung Karno dengan catatan 58.69s, kurang 0.14 di belakang rekod Asia miliknya sendiri 58.55s yang dilakukan dalam Sukan Para­limpik Rio, Brazil pada 2016.

Perak acara itu dimenangi Toyama Aimi dari Jepun de­ngan catatan 1:00.78s manakala gangsa milik atlet tuan rumah, Sesa Elvin Elhudia yang mencatat 01:01.37s.

“Alhamdulillah, saya berjaya menyumbangkan pingat emas pertama buat negara. Harap kemenangan ini akan menaikkan moral rakan-rakan lain untuk mengejar sasaran 15 emas,” kata Noor Iasah.

Nasharuddin pula menjejakkan kaki ke garisan penamat dengan kepantasan 49.32s, sekali gus memadam rekod temasya (51.61s) milik pelari Iran, Peyman Nasiri Bazanjani dilakukan di Korea Selatan 2014. Rekod Asia terdahulu adalah 49.58s yang dilakukan Nasharuddin sendiri sewaktu menyertai kejohanan di Dubai pada Mac lalu.

Pingat perak dan gangsa milik atlet tuan rumah, Kolymau Felipus dengan masa 50.28s manakala Tine Endi Nurdin di tempat ketiga 50.62s.