Bagaimanapun, penganjuran kali ini tidak berlangsung di Busan semata-mata, sebaliknya turut dikembangkan ke empat badar berhampiran - Ulsan, Changwon, Masan dan Yangsan bagi memastikan temasya berlangsung dengan sempurna.

Secara keseluruhan, sebanyak 42 venue pertandingan digunakan untuk 419 acara daripada 38 sukan yang dipertandingkan.

Dalam edisi kali ini, seramai 7,711 atlet daripada 44 negara bertanding dengan China muncul juara keseluruhan menerusi kutipan 150 pingat emas.

Kontinjen Malaysia pula menamatkan saingan di tangga ke-12 dengan mengutip enam pingat emas, lapan perak dan 16 gangsa.

Boling menyumbang dua emas menerusi beregu wanita (Sarah Yap-Wendy Chai) dan Masters Wanita (Shalin Zulkifli), manakala karate cemerlang meraih dua emas dalam kumite lelaki 55 kilogram (R. Puvaneswaran) serta kumite wanita 60kg (S. Premila).

Skuasy (Ong Beng Hee, perseorangan lelaki) dan wusyu (Ho Ro Bin, nanquan lelaki) masing-ma­sing menokok sebutir emas yang cukup bernilai.

Selain empat bandar menjadi tuan rumah, edisi ke-14 temasya juga menampilkan lapan lagu rasmi Sukan Asia 2002 iaitu The Dream of Asia, Frontier!-Voices from the East, We are..., Theme from Duria, The Fanfare, Welcome to Busan Korea, Let`s Go!! dan Love to All of Us.

Sukan Asia kali ini juga memperkenalkan logo khusus bertemakan ombak laut biru berbentuk Taegeuk yang mencerminkan Busan dan Korea dengan menyemai maksud pembangunan serta kesatuan negara-negara Asia.

Ombak berbentuk B itu merupakan huruf pertama bagi bandar raya Busan.

Burung Camar dipilih sebagai maskot Sukan Asia 2002 yang diberi nama Duria iaitu kombinasi perkataan Durative (bertahan lama) dan Asia yang membawa maksud Awak dan Saya Bersama atau Asia Selamanya dalam bahasa Korea.

Maskot itu antara lain mempromosikan semangat keharmonian, kekeluargaan serta kekayaan dalam kalangan negara-negara Asia.