Pengurus Teknikal kejohanan, Mohd. Syarudin Mohd. Nazir berkata, beliau yakin edisi kelapan kejohanan itu akan berlangsung meriah walaupun tidak mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia kerana kejohanan itu berupa ‘kejohanan rakyat’.

Menurut beliau, sepanjang pengalamannya sebagai pengurus teknikal sejak kejohanan itu dimulakan pada 2010, telah ramai pemain sepak takraw berbakat dilahirkan melalui kejohanan tahunan itu.

“Sebab itu kita lihat saban tahun jumlah penyertaan bertambah. Kalau tahun lalu sebanyak 274 regu mengambil bahagian, kali ini sebanyak 334 regu sudah mengesahkan penyertaan sekali gus menjadi kejohanan terbesar pernah diadakan.

“Kebanyakan regu dan pemain yang pernah beraksi sebelum ini turut serta dalam kejohanan tahun ini. Mereka sememangnya menanti-nantikan penganjurannya setiap tahun,” katanya di sini hari ini.

Persaingan peringkat awal kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM65,000 akan diadakan di Kompleks Sukan Negeri bermula esok hingga 30 September. Perlawanan akhir akan berlangsung di pusat beli-belah Quill City Mall di ibu negara pada 1 Oktober ini.

Sebanyak 58 regu bakal beraksi bagi kategori Cilik Utusan (Bawah 12 Tahun), 58 regu Remaja Utusan (Bawah 14), 61 regu Belia Utusan (Bawah 16), 31 regu Bakat Baharu, 32 regu Veteran Utusan dan 94 regu Terbuka Utusan/Institusi Pengajian Tinggi.

Menurut Mohd. Syarudin, kejohanan tersebut sememangnya dianjurkan dengan matlamat memartabatkan sepak takraw tempatan dan meningkatkan minat dalam kalangan generasi muda terhadap sukan itu.

“Kejohanan ini sangat ditunggu-tunggu khususnya oleh pelajar sekolah sukan negeri-negeri. Bagi pelajar yang separuh mahir, mereka dapat menggilap kemahiran beraksi menerusi kejohanan ini.

“Tidak banyak kejohanan lain yang diadakan dengan matlamat memupuk kebolehan pemain muda untuk cemerlang dalam sepak takraw,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati persiapan bagi majlis pelancaran kejohanan itu di Kompleks Sukan Negeri berjalan lancar.