Kejohanan sulung pada 14 Disember yang bakal berlansung di Bard Gym itu menghimpunkan peninju amatur dari beberapa buah kelab yang berpangkalan di negeri ini, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Bard Gym, Mohd. Badrul Insan Kauzi berkata, kejohanan itu merupakan platfom terbaik buat peninju amatur untuk menimba pengalaman baharu dalam dunia peraturangan sebenar.

Menurutnya, pertandingan tersebut turut didaftarkan di bawah Persatuan Muay Thai Malaysia sekaligus memberikan prestij kepada para peninju.

“Kemenangan yang mereka lakarkan pada kejohanan ini akan dikira sebagai rekod.

“Usaha yang kita lakukan ini bagi memberi nilai tambah kepada peninju untuk mengembangkan bakat mereka dalam dunia Muay Thai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Badrul Insan memberitahu, para peserta yang menyertai kejohanan ini akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan kecederaan.

Tambahnya, bukan itu sahaja para peserta turut diharamkan menggunakan teknik sikuan sebagaimana yang digunakan oleh peninju profesional. - UTUSAN ONLINE