Kejohanan kali kedua dianjurkan oleh Persatuan Tenis Terengganu (PTT) dengan kerjasama Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) yang pe­nganjurannya turut mendapat pengesahan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF).

Pengarah kejohanan me­rangkap Timbalan Presiden PTT, Hashim Ibrahim berkata, penganjuran itu turut mendapat soko­ngan sepenuhnya daripada kerajaan negeri selain Majlis Sukan Negara (MSN) Terengganu bersempena sambutan Tahun Visit MyBeautiful Terengganu 2017.

Beliau memberitahu, antara negara yang akan turut serta ialah India, Jepun, Indonesia, Thailand, Singapura, Norway, Belgium, Hong Kong, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia dengan tiga kategori akan dipertandingkan iaitu Main Draw, Qualifying dan Waiting Room.

Menurutnya, selaku tuan rumah, skuad negara meletakkan sandaran kepada pasangan adik beradik, Uma Sara Nayar, 16, dan Sara Alisha Nayar, 15, untuk membawa cabaran pada kejohanan kali ini.

“Selain itu, seorang lagi pemain harapan negara iaitu Christian Didier Chin yang kini menduduki anak tangga ke-231 dunia mampu memberi saingan dan sebelum ini beliau muncul juara lelaki terbuka dalam Kejohanan ITF Kuala Lumpur Mac lalu.

“Pemain kelahiran Sabah ini juga merupakan pemenang pi­ngat emas Sukma (Sukan Malaysia) 2016 di Kuching, Sarawak dan kini sedang giat menjalani latihan di Australia,” jelasnya dalam sidang akhbar di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah MSN Terengganu, Mohd. Sabri Abas.

Hashim berkata, kejohanan tahun lalu telah didominasi peserta India dan Korea Selatan apabila muncul juara dan naib juara bagi acara perseorangan dan beregu.

Tambahnya, majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah dijangka disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Kompleks Tenis MBKT Padang Hiliran di sini pada 21 Mei nanti.